Social
192

28 dikompaun main futsal

Kuala Lumpur – Seramai 28 individu dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan bermain futsal di sebuah gelanggang futsal di Sri Gombak, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata kesemua mereka dikenakan tindakan selepas didapati gagal menjaga penjarakan fizikal dan melakukan aktiviti yang tidak dibenarkan ketika pelaksanaan PKP.

“Pasukan Task Force Pemantauan dan Pematuhan PKP Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak membuat pemeriksaan di lokasi selepas menerima aduan awam berhubung sekumpulan individu bermain futsal dengan tiada pematuhan SOP.

“Didapati seramai 28 individu berusia antara 19 hingga 23 tahun gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal dan melakukan aktiviti yang masih tidak dibenarkan dalam sektor sukan dan rekreasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, katanya, tindakan kompaun dikenakan terhadap 28 pemain serta dua pemilik premis terbabit.

Terdahulu, viral di media sosial beberapa gambar berkaitan kejadian itu sehingga menimbulkan kekeliruan orang ramai sama ada aktiviti sukan seperti futsal boleh dilakukan atau sebaliknya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, pada sidang medianya 11 Februari lalu menjelaskan aktiviti sukan seperti bola sepak, bola keranjang, hoki dan sepak takraw boleh dilakukan secara latihan kemahiran kendiri (tanpa aktiviti bersentuhan) dan secara berseorangan mulai 12 Februari lalu.

Beliau turut menjelaskan, semua jenis sukan dan aktiviti rekreasi yang membabitkan sentuhan masih tidak dibenarkan. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu