Nation
141
0

28 Mei sebutan semula kes rasuah Guan Eng

Seberang Perai – Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini menetapkan 28 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes rasuah membabitkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, 60.

Kes itu turut membabitkan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, 56, dan ahli perniagaan, Phang Li Koon, 48.

Hakim Ahmad Azahari Abd. Hamid membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan memohon masa kepada mahkamah bagi meneliti dokumen yang diserahkan oleh pihak pendakwaan pada Selasa lalu.

Peguam, R. S. N Rayer dan A. Ruben Kumar memberitahu mahkamah bahawa pihaknya memerlukan masa kira-kira tiga bulan untuk meneliti dokumen setebal lebih 1,000 muka surat itu dan bagi menasihati tertuduh.

Permohonan tersebut tidak dibantah pihak pendakwaan yang terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara, Shafiq Hasim dan Mohd. Ashrof Adrin Kamarul sebelum hakim menetapkan tarikh tersebut.

Sementara itu, pihak pembelaan turut menyatakan akan memfailkan permohonan interlokutori dalam tempoh terdekat.

Pada prosiding itu kesemua tertuduh tidak hadir kerana mendapat pengecualian mahkamah.

Terdahulu, pada 11 Ogos lalu, Guan Eng mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk suapan wang berjumlah RM372,000 bagi isterinya melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn. Bhd.

Ia dengan cara memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn. Bhd. ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Juru dan sebahagian Lot 282, Batu Kawan di sini yang bernilai RM11.61 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Georget Town dekat sini di antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Di mahkamah sama, Li Koon turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Guan Eng di lokasi dan tempoh yang sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, di mahkamah sama, Gek Cheng mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM372,000 hasil daripada aktiviti haram.

Beliau yang juga merupakan seorang peguam didakwa menerima wang itu daripada syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn. Bhd. yang dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Berhad yang didakwa dilakukan antara Oktober 2013 hingga Mac 2016.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Taman Melaka Raya, Melaka.

Gek Cheng didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(a) dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001 (Akta 613). – Kosmo Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu