Social
128

29 ditahan, Tiga lokasi PATI diserbu

Ipoh – Tiga lokasi yang menjadi tumpuan warga asing melepak sambil berniaga umpama di negara sendiri diserbu dalam Operasi Bersepadu hari ini dan pihak berkuasa menahan 29 pendatang asing tanpa dokumen sah.

Operasi berkenaan membabitkan 142 anggota pelbagai agensi terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A Asmadi Abdul Aziz berkata sebanyak 300 warga asing telah diperiksa di tiga lokasi utama terbabit iaitu di Jalan Sultan Idris Shah, Jalan Dato Onn Jaafar dan sekitar Pasar Karat.

“Berdasarkan siasatan awal, tiga lokasi tersebut menjadi tempat warga asing berkeliaran membuat urusan peribadi sama ada menghantar wang kepada keluarga, membeli barang keperluan dan pada masa sama berjumpa dengan rakan sejak sekian lama.

“Hasil serbuan mendapati 26 lelaki dan tiga wanita berumur antara 24 hingga 34 tahun, tidak memiliki apa-apa dokumen perjalanan yang sah dan ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 61(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

A Asmadi berkata kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata MBI turut mengambil tindakan terhadap premis yang meletakkan papan tanda dalam bahasa asing.

Sebelum ini, media melaporkan peniaga asing di Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Dato Onn Jaafar di kawasan pekan baharu di sini menggunakan papan tanda tertera tulisan dalam bahasa asing bertujuan menarik pelanggan dari negara terbabit ke kedai mereka. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu