Kuala Lumpur Post

Social

3 anggota polis didakwa curi RM85,000

KUALA LUMPUR — Tiga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas dakwaan mencuri wang berjumlah RM85,000 ketika menjalankan tugas pada operasi bersepadu menggempur warga asing Ops Silang digelar ‘Mini Dhaka’ di Lebuh Pudu, Khamis lalu.

Lans Koperal Mohamad Adib Mohd Zafri, 35, Koperal Muhamad Hafiz Irsyad Mohd Nawi, 30, dan Lans Koperal Mohamad Amirul Aiman Mamat, 26 bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.

Semua tertuduh didakwa dengan niat bersama mencuri wang milik NGWE Gabar Sdn Bhd, No 29, Tingkat 1, Jalan Lebuh Pudu, Off Jalan Silang, dalam Daerah Dang Wangi di sini, pada jam 2.27 petang, 21 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham memaklumkan kepada mahkamah, bahawa pihaknya tidak menawarkan sebarang jaminan kepada semua tertuduh.

Menurut Izzat Amir, ia berikutan perbuatan itu dilakukan oleh penjawat awam ketika menjalankan amanah dan tugas mereka sebagai anggota polis.

“Perkara ini mendatangkan kegusaran kepada masyarakat awam berkaitan integriti dan tanggungjawab anggota keselamatan ketika menjalankan tugas.

“Sekiranya mahkamah masih ingin memberikan jaminan, pihak pendakwaan menegaskan supaya jaminan yang ditawarkan tidak kurang RM30,000 seorang dengan dua orang penjamin,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili Mohamad Adib dan Muhamad Hafiz Irsyad memohon supaya mahkamah memberikan jumlah jaminan yang minimum kepada anak guamnya kerana pendapatan mereka hanya RM2,100 sebulan dan masing-masing terpaksa menanggung keluarga.

Sementara itu, peguam Khairunnisa Azzahrah Ghazalie yang mewakili Mohamad Amirul Aiman yang masih bujang turut memohon perkara sama, dan menghujahkan bahawa prinsip jaminan hanya memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah dan anak guamnya tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Aina Azahra kemudian membenarkan semua tertuduh masing-masing dijamin RM17,00 dengan dua penjamin warga tempatan.

Mereka juga diperintahkan menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis terdekat setiap awal bulan.

Mahkamah turut menetapkan tarikh sebutan kes pada 6 Februari ini.

Tags: , , ,