Social
141
0

3 beradik didenda RM1,000 bawa lari jenazah bapa dari hospital

Lahad Datu – Tiga beradik lelaki masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, kerana menghalang tugas pegawai kesihatan dengan membawa lari jenazah bapa mereka yang perlu disaring COVID-19 Hospital Lahad Datu, Rabu lalu.

Majistret Ryan Sagirann Rayner Jr menjatuhkan hukuman itu terhadap Said Jipri, 27, dan kembarnya, Sabri serta adik mereka Jenrey, 26, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan secara bersama.

Ryan Sagirann turut memerintahkan kesemua tertuduh dipenjara satu tahun jika gagal membayar denda. Semua tertuduh membayar denda itu.

Tiga beradik itu didakwa menghalang Mohamad Izwan Ahmad Saibi iaitu pegawai diberi kuasa Kementerian Kesihatan daripada melakukan kewajipannya di Khemah Zon Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Jabatan Kecemasan Hospital Lahad Datu pada 8.30 malam, 20 Januari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 22(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (a) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Risal Abd Fikkah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap semua tertuduh sebagai pengajaran dengan mengambil kira perbuatan mereka boleh mendatangkan risiko kesihatan ketika pandemik COVID-19, apatah lagi Lahad Datu masih dikategori zon merah.

Peguam Hafizah Mohd Akram Khan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, yang mewakili tiga beradik itu, bagaimanapun, memohon mahkamah menimbang hukuman ringan dengan alasan ia kesalahan pertama semua tertuduh selain mereka mempunyai pendapatan rendah dan perlu menanggung keluarga.

“Ketika kejadian semua tertuduh berasa tertekan, sedih dan hilang pertimbangan selepas mendapat tahu bapa mereka meninggal dunia dan semua tertuduh ketika itu percaya bapa mereka meninggal dunia disebabkan strok serta sesak nafas dan bukan kerana COVID-19,” katanya. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu