Kuala Lumpur Post

Social

3 beranak cedera dipukul

AMPANG JAYA — Tiga beranak cedera dipukul lelaki warga Indonesia hanya kerana perselisihan faham berkaitan kerja, di Taman Kosas di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian 2.30 petang itu, wanita warga Indonesia, 27, itu berada di perhentian bas berhadapan Jalan 1/5, Taman Kosas, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, suspek berusia 39 tahun itu kemudian datang dengan membawa sebatang besi dan memukul wanita itu, adik mangsa yang berusia 24 tahun dan ibunya yang berumur 56 tahun.

Menurutnya, akibat dipukul, mereka mengalami kecederaan di kepala, muka dan tangan.

“Susulan itu, pada 3.45 petang, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menangkap suspek yang juga pembantu kedai di Taman Kosas serta merampas senjatanya.

“Semakan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Ujian air kencing yang dijalankan mendapati dia negatif daripada penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek direman empat hari bermula Khamis lalu hingga esok.

“Motif kejadian adalah disebabkan perselisihan kerja antara mangsa dengan suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.