Social
290

3 buruh didakwa rogol wanita OKU

Kota Baharu – Tiga buruh warga Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan merogol secara berkumpulan seorang wanita yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam, Disember lalu.

La Aliudin, 42, La Muluki, 40, dan Mohamad Adam, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa merogol seorang wanita OKU lembam berusia 46 tahun secara berkumpulan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Kampung Padang Lengkuas, Melor jam 2 pagi pada 20 Disember lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Faizuan Sulaiman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Faizuan memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada ketiga-tiga tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 6 Mei sebagai tarikh sebutan semula untuk laporan perubatan dan kimia. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu