Social
337

3 ditahan, 8 diburu pergaduhan di restoran

Kuala Lumpur – Polis menahan tiga lelaki dan memburu lapan lagi berhubung kejadian pergaduhan yang berlaku di hadapan sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin, berkata suspek berusia antara 27 hingga 35 tahun itu ditahan dalam beberapa tangkapan di sekitar ibu negara, malam tadi.

“Siasatan mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 10 malam apabila sekumpulan individu tidak berpuas hati apabila tidak dibenarkan menjamu selera di restoran terbabit.

“Ini kerana pemilik restoran sudah mahu menutup operasi perniagaan mereka pada jam 10 malam bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditetapkan kerajaan,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Suntikan Vaksin COVID-19 Polis Kuala Lumpur di Klinik Kesihatan Jinjang di sini, hari ini.

Saiful Azly berkata, beberapa peralatan seperti kerusi dan meja milik restoran terbabit mengalami kerosakan, namun ia tidak serius.

“Kita sudah menahan tiga individu malam tadi dan kita memburu lapan lagi individu lain yang dipercayai turut terbabit dalam pergaduhan itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Terdahulu, beberapa rakaman video berhubung kejadian itu viral di media sosial menunjukkan sekumpulan individu membaling kerusi dan meja di hadapan sebuah restoran. – Berita Harian

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu