Social
576

3 individu ‘bergelang pink’ masuk farmasi dicari polis

Subang Jaya – Tiga individu termasuk seorang wanita dicari polis selepas tular sekeping gambar memaparkan mereka hadir ke sebuah farmasi dengan memakai gelang warna merah jambu dalam kejadian 15 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman berkata, susulan penularan gambar tersebut, pasukan Task Force Pematuhan dan Pemantauan Ops Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya telah membuat pemeriksaan di premis tersebut di Puchong Perdana, Puchong di sini.

“Hasil temubual terhadap penyelia farmasi mendapati kejadian berlaku pukul 11.20 pagi apabila seorang lelaki bergelang merah jambu telah masuk ke dalam farmasi tanpa membuat imbasan MySejahtera untuk membeli ubat manakala seorang lagi lelaki dan wanita menunggu di luar premis.

“Lelaki tersebut bagaimanapun keluar tanpa membuat sebarang pembelian setelah dimarahi dan diarahkan keluar oleh pekerja farmasi dan empat pekerja farmasi yang bertugas telah diarahkan menjalani kuarantin kendiri sebelum membuat ujian calitan awal,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Abd. Khalid, tiada sebarang laporan polis dibuat susulan kejadian itu namun pihak polis telah mengeluarkan kompaun ke atas farmasi tersebut kerana gagal memastikan hanya pelanggan dengan status ‘Low Risk’ dalam MySejahtera shaja yang dibenarkan masuk ke dalam premis.

“Siasatan awal mendapati dua lelaki dan seorang wanita tersebut telah melanggar arahan kuarantin yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan usaha mengesan mereka diteruskan sehingga kini.

“Siasatan berhubung kejadian masih dijalankan di bawah Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342),” tegas beliau.

Tags: , , , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu