Social
174

3 jurujual mengaku tak bersalah sembunyi wang RM2.8 juta

Kuantan – Tiga jurujual mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret di sini atas 27 pertuduhan menyembunyikan wang berjumlah RM2.8 juta milik syarikat pelaburan tidak wujud pada Jun lepas.

Ng Kai Sheng, 26; On Hui Lin, 34, dan Low Kheh Sheng, 24, didakwa menyembunyikan wang milik beberapa individu yang dikreditkan ke dua akaun bank yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat antara Mei hingga Jun lepas, di sebuah rumah di Pelindung Height di sini.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam Nurul Syafiqa Syeba Atan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili semua tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan rendah kepada anak guamnya atas alasan mereka menanggung keluarga termasuk ibu bapa selain telah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan.

Pada prosiding di hadapan Majistret Ainis Abu Hassan Shaari, On yang berhadapan dengan sembilan pertuduhan dibenarkan jaminan RM18,000 manakala jaminan RM12,000 dikenakan terhadap Ng yang didakwa atas enam pertuduhan, masing-masing dengan seorang penjamin.

Majistret Nurul Farahah Mohd Suah membenarkan jaminan terhadap On yang didakwa atas tujuh pertuduhan sebanyak RM14,000, Ng yang berhadapan empat tuduhan dijamin RM10,000 manakala Low yang dituduh dengan satu pertuduhan RM3,000, juga dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Sebutan semula kes pada 17 Nov untuk On dan Ng manakala 25 Nov untuk Low.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Azreen Wan Zaid, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu