Social
129

3 lelaki ditahan seludup lebih 52,000 tin arak bernilai RM1.3 juta

Kuala Lumpur – Seorang lelaki tempatan bersama dua lelaki warga Myanmar ditahan di Putra Heights, Subang Jaya, di sini, pagi tadi kerana disyaki menyeludup 52,704 tin arak dianggarkan bernilai RM1.3 juta.

Komander Briged Tengah PGA SAC Muhammad Abdul Halim berkata ketiga-tiga suspek berusia 30 hingga 55 tahun itu ditahan di sebuah rumah ibadat dalam operasi kontraban (op kontraban) oleh sepasukan polis dari Cawangan Risik Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) serta merampas arak jenama Martens, Luxus dan Leo dalam operasi itu.

Beliau berkata arak seludup itu dipercayai diimport dari luar negara untuk pasaran tempatan dan dijual dengan harga lebih murah di sekitar Lembah Klang.

“Siasatan awal mendapati pihak pengurusan rumah ibadat itu tidak terbabit dengan kegiatan berkenaan dan percaya sindiket itu menggunakan tempat tersebut hanya sementara sebagai tempat penyimpanan arak untuk mengelak kegiatan mereka dikesan,” katanya dalam sidang media di lokasi serbuan di Putra Heights, Subang Jaya, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, tiga lelaki warga tempatan berusia lingkungan 35 hingga 45 tahun ditahan di Bandar Jaya Putra Johor Bahru, Johor kerana disyaki terlibat sindiket penyeludupan rokok.

Muhammad berkata penahanan tiga lelaki berkenaan membawa kepada rampasan 34 kotak rokok seludup jenama Manchester berserta sebuah kereta Honda City dan enam telefon bimbit bernilai RM351,620 di sebuah premis dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, seorang lelaki tempatan berusia 22 ditahan di dalam sebuah kereta di Jalan Benteng Parit Kedondong, Parit Bunga, Tangkak, Johor, semalam kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis syabu seberat 5,190.6 gram.

Muhammad berkata dadah dianggarkan bernilai RM269,000 berkenaan dibungkus dalam plastik berwarna hitam dan cuba dicampak suspek keluar dari kereta apabila sepasukan polis dari Batalion 6 PGA, Bakri, Muar, Johor menghampiri kenderaan mereka. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama

 

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu