Social
311

3 lelaki positif Covid-19 dikompaun

Raub – Tiga lelaki memakai gelang merah jambu, termasuk dua warga emas, dikenakan kompaun berjumlah RM9,000 kerana mengingkari peraturan kuarantin di rumah dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), di sini, semalam.

Malah dalam insiden antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.00 petang itu, ketiga-tiga Orang Kena Kompaun (OKK) berusia 73, 69 dan 52 tahun terbabit juga memberikan alasan tidak munasabah untuk tindakan mereka.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed, berkata OKK berkenaan mendakwa keluar rumah kerana berasa panas dan ingin bersia-siar.

“Alasan sebegini adalah sangat tidak munasabah dan menyedihkan. Angkara sikap tidak bertanggungjawab, mereka berisiko menularkan COVID-19 kepada umum sekiranya didapati positif.

“Kedegilan tidak wajar sebegini yang boleh menyebabkan kes COVID-19 meningkat dan sukar dikawal,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Susulan itu, beliau berkata, OKK berusia 69 tahun yang tinggal di Kampung Sungai Klau dan berumur 52 tahun dari Taman Sungai Klau, masing-masing dikompaun RM2,000.

Kompaun itu dikenakan mengikut Perkara 25 (a) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, atas kesalahan berkumpul dan makan di kedai dalam kawasan PKPD tanpa alasan munasabah.

OKK berusia 73 tahun yang tinggal di Kampung Sungai Klau pula dikompaun RM5,000 mengikut Perkara 22(b) peraturan sama, kerana gagal melakukan kuarantin di rumah sendiri selepas memakai gelang merah jambu.

Kama Azural berkata, semua OKK itu dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam kawasan PKPD. – BH Online

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu