Kuala Lumpur Post

Social

3 lelaki termasuk ‘Datuk’ didakwa edar dadah

JOHOR BAHRU — Seorang ahli perniagaan bergelar “Datuk” antara tiga lelaki yang didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengedar dadah lebih 23.5 kilogram, bulan lepas.

Pertuduhan terhadap Datuk Loong Chan Yow, 46, Wong Fook Loy, 46, dan Chai Choon Foo, 54, dibacakan di hadapan Majistret R. Salini.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga lelaki itu didakwa bersama-sama dengan dua lagi lelaki warga Myanmar, mengedar dadah methylenedioxymethamphetamine (MDMA) jenis serbuk masing-masing seberat 22.5 kg dan 673 gram serta jenis pil seberat 368 gram di Jalan Sagai 6, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang di sini, pada 11 pagi, 27 Nov lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 23 Jan depan untuk bacaan pertuduhan oleh jurubahasa Myanmar terhadap tertuduh dua lelaki warga Myanmar iaitu Win Min Hliang, 30, dan Kaung Myat Phyoe, 26, serta sebutan semula bagi laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Mamu manakala peguam Mohd Hamizi Mohd Yusof mewakili kelima-lima tertuduh.

Tags: , ,