Social
406

3 maut kereta terbabas, langgar pokok

Kuching – Tiga lelaki maut selepas kereta yang mereka naiki terbabas dan terlanggar pokok di Jalan Bako, di sini, petang semalam.

Mangsa iaitu pemandu kereta terbabit, Voon Fook Seng, 26, serta dua penumpang Ruzzie Bujek, 24, dan Mechelini Bujek, 28, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata siasatan awal mendapati, kereta Proton Gen2 itu bergerak dari arah pusat bandar raya Kuching menuju ke arah Bako.

“Setibanya di lokasi kejadian, kereta terbabit hilang kawalan di selekoh lalu terbabas ke sebelah kanan jalan dan melanggar sebatang pokok di atas pembahagi jalan.

“Ketiga-tiga mangsa yang berada di dalam kereta itu mengalami kecederaan parah di kepala dan badan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Alexson berkata, mayat ketiga-tiga mangsa dihantar Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk dibedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.43 petang.

Beliau berkata, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dan dua anggota EMRS dari BBP Petra Jaya dikejarkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi didapati tiga lelaki yang berada di dalam kereta yang remuk selepas melanggar pokok di tengah pembahagi jalan itu tidak sedarkan diri.

“Ketiga-tiga mangsa berjaya dikeluarkan dan hasil pemeriksaan awal anggota EMRS mendapati ketiga-tiga mangsa sudah tidak bernyawa, namun kematian mereka disahkan oleh anggota paramedik Kementerian Kesihatan (KKM) yang tiba di lokasi kejadian,” katanya, lapor BH Online.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu