Kuala Lumpur Post

Social

3 pegawai, kerani ditahan terima rasuah

JOHOR BAHRU — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor telah menahan tiga wanita semalam, dipercayai menerima rasuah membantu calon ujian berkomputer lesen memandu untuk lulus, tahun ini.

Menurut sumber, dua daripada wanita itu bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di Rangkaian Interaktif Laman Elektronik Kerajaan (RILEK) Cawangan Kota Tinggi dan seorang lagi bekerja sebagai kerani di sebuah pusat lesen memandu.

Tambah sumber, ketiga-tiga wanita berusia 23 hingga 34 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Negeri Johor kira-kira 9 malam tadi, selepas satu operasi yang dijalankan, hasil kerjasama sebuah syarikat konsesi untuk aplikasi utama kerajaan elektronik Malaysia.

Difahamkan kesemua suspek menerima wang berkenaan daripada calon-calon peserta yang menghadiri ujian Bahagian 1 Berkomputer Lesen Memandu untuk membantu mereka lulus dalam ujian tersebut.

“Siasatan kini masih dijalankan, dijangka akan ada penahanan lain bagi membantu siasatan,” kata sumber berkenaan, hari ini.

Ketiga-tiga mereka akan dilepaskan dengan jaminan SPRM, kata sumber tersebut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Tags: , ,