Social
124

3 pelajar, 2 penganggur mengaku tak bersalah

Batu Pahat – Tiga pelajar dan dua penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan aktiviti terlarang dengan menyertai perhimpunan tanpa memakai pelitup muka di Parit Raja, dua bulan lepas.

Muhammad Farhan Mhd Basri, Nur Muhamad Afif Norazam, Faizul Naim Ahmad, Muhamad Al Azim Abd Rasid dan Muhamad Hafizul Helmi Zailan, berumur antara 19 hingga 23 tahun itu, membuat pengakuan berkenaan ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd Syafiq Mustaza.

Kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di persimpangan lampu isyarat Parit Raja, dekat sini pada 2 pagi, 13 Mei lepas.

Mereka dituduh mengikut Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempat jangkitan) 2021, yang boleh dihukum di bawah Peraturan 17 (1) Peraturan yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos menawarkan jaminan RM6,000 seorang, namun peguam Mohd Fared Mohd Khalid yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan tiga daripada mereka masih belajar manakala dua lagi tidak bekerja.

Majistret kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 26 Ogos depan, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu