Kuala Lumpur Post

Social

3 remaja dipanggil bantu siasatan video perbualan berkaitan dadah

MELAKA — Polis memanggil dua wanita dan seorang remaja lelaki bagi membantu siasatan berhubung penularan rakaman video mengenai perbualan berkaitan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Melaka Zainol Samah berkata wanita 18 tahun dan remaja lelaki, 17, yang masing-masing berasal dari Batu Berendam serta Jasin itu dipanggil memberi keterangan di IPD Melaka Tengah 6 petang semalam.

Menurutnya seorang lagi wanita 18 tahun yang tinggal di Jalan Dato Senu, Kuala Lumpur dipanggil memberi keterangan di IPD Sentul pada 9.55 malam tadi.

“Selasa lepas, video 52 saat yang memaparkan perbualan sekumpulan individu berkaitan penyalahgunaan dadah tular di media sosial.

Siasatan polis mendapati perbualan itu dibuat pada Isnin (19 Ogos) secara berkumpulan dalam talian menggunakan platform TikTok, katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata tiga individu itu dipanggil memberi keterangan, sebelum dilepas serta dibebaskan tanpa syarat selepas siasatan mendapati mereka melakukan perbualan berkenaan setelah menonton filem memaparkan adegan penyalahgunaan dadah dan sekadar gurauan bersama rakan.

Katanya semakan rekod mendapati tiga individu terbabit tiada rekod jenayah dan negatif ujian air kencing, tetapi kes itu dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk tindakan lanjut.