Social
546

3 sahabat maut kemalangan

Kuala Lumpur – Tiga sahabat maut apabila kereta yang dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebatang pokok di Jalan Klang Lama, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa yang maut dikenali sebagai G. Sharvinath, 21; J Jordan Jackson, 19; dan D. Hervinraj berusia 16 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata dalam kejadian pada pukul 6.49 pagi itu, kereta berkenaan sedang dalam perjalanan dari arah Klang Lama menghala ke pusat bandar.

Kereta yang dipandu Sharvinath itu dikatakan hilang kawalan setelah melanggar batu penghadang di sebelah kanan jalan, sebelum berpusing lalu merempuh sebatang pokok di kiri jalan, katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian.

Ketiga-tiga lelaki itu maut di tempat kejadian, manakala kereta yang dinaiki remuk dan terputus dua bahagian.

Zulkefly berkata mayat kesemua mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh Mohd Nazri Hasim berkata 18 pegawai dan anggota dari BPP Seputeh dan BPP Pantai dikerah ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit di dalam kereta itu. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu