Kuala Lumpur Post

Social

3 suspek peras ugut, larikan perunding hutang ditahan

KUALA LUMPUR — Polis menahan tiga lelaki yang disyaki terbabit dalam kes pemerasan dan melarikan seorang perunding hutang pada Selasa lalu.

Ketua Polis Sungai Buloh Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata suspek yang berusia 30 hingga 40 tahun itu ditahan pada 1.20 pagi semalam di sekitar Puncak Alam, Shah Alam, selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang mendakwa pekerjanya dipukul serta dilarikan oleh beberapa individu.

“Lelaki itu memaklumkan pekerjanya berusia lingkungan 20-an berjumpa seorang wanita berkaitan pembayaran hutang milik syarikatnya, namun mangsa telah dipukul dan dilarikan beberapa individu selain wang tunai RM2,000 miliknya turut diambil suspek.

“Suspek turut menghubungi lelaki itu (pengadu) supaya menyerahkan wang RM7,000 jika mahu mangsa dilepaskan,” katanya dalam kenyataan.

Hafiz berkata susulan penahanan itu, polis menemukan semula mangsa yang ditahan suspek serta merampas sebuah kereta jenis Honda, dua telefon bimbit dan sekeping kad bank.

Menurutnya siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai empat rekod lampau termasuk satu kesalahan narkotik.

“Semua suspek direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 385 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.