Kuala Lumpur Post

Social

3 suspek terbabit dalam kes tembakan ditahan polis

KUCHING — Polis menahan tiga lelaki yang disyaki terbabit dalam kes tembakan di belakang pasar raya di Batu 19, Jalan Kuching-Serian, sehingga mencederakan tiga mangsa, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Mohd Irwan Hafiz Mohd Radzi, berkata ketiga-tiga suspek yang ditahan itu berusia antara 23 hingga 26 tahun.

Beliau berkata, semua suspek ditahan di kawasan Batu 17 dan Batu 18, Jalan Kuching-Serian antara jam 8 hingga 11 malam, semalam.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari hingga 16 Julai ini bagi membantu siasatan kes itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kejadian tembakan dipercayai menggunakan senapang patah yang berlaku awal pagi semalam mencederakan tiga lelaki berusia 24 hingga 25 tahun.

Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 1.57 pagi daripada seorang lelaki berusia 26 tahun yang memaklumkan tiga rakannya terkena tembakan.

Kesemua mangsa yang terkena tembakan pada bahagian badan menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan berada dalam keadaan stabil.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat).