Social
200

3 termasuk wanita warga emas ditahan miliki dadah

Melaka – Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita warga emas disyaki memiliki dadah bernilai RM86,000 dalam dua serbuan berasingan di Taman Seri Bayu, Alor Gajah pada 29 Julai lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri Supt Zulkiflee Rashid berkata dalam serbuan bersama bahagian siasatan jenayah narkotik daerah Alor Gajah pada 6 pagi itu, seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan bersama dadah dianggarkan RM86,000.

“Dalam serbuan tersebut pihak polis merampas sebanyak enam peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah heroin (anggaran berat 533 gram) dengan nilaian RM6,000 dan 18 peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki syabu (anggaran berat 2.2 kg) dengan nilaian RM80,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata anggaran rampasan dadah tersebut boleh digunakan oleh 6,200 orang penagih dadah dan dipercayai untuk kegunaan penagih tempatan.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek yang tidak bekerja itu positif dadah jenis methamphetamin di samping mempunyai satu rekod lampau berkaitan jenayah dan satu rekod lampau berkaitan dadah.

Zulkiflee berkata serbuan pertama itu membawa kepada penahanan dua lagi individu membabitkan seorang nenek berusia 65 tahun bersama cucu lelaki yang berusia 21 tahun.

“Tangkapan dilakukan pada 6.45 pagi dengan seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan dan siasatan awal mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes jenayah dan satu rekod berkait dengan dadah.

“Turut ditahan adalah seorang wanita berusia 65 tahun dan mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah,” katanya.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya1952 dan direman selama tujuh hari bermula 30 Julai hingga 5 Ogos untuk siasatan lanjut.

Di samping itu, Zulkiflee menjelaskan tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 juga diambil terhadap kesemua subjek, dengan nilai keseluruhan sitaan adalah sebanyak RM24,782.11 melibatkan rampasan sebuah kereta, motosikal dan barang kemas, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu