Social
777
0

3 wanita dirempuh kereta, seorang maut

Kota Bharu – Seorang wanita warga Indonesia maut manakala dua warga emas wanita cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta yang terbabas berdekatan Jalan Pasir Hor, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Abd Rahim Daud, ketika dihubungi, berkata dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa yang terkorban dikenali sebagai Lia Ernani, 45, seorang buruh warga Indonesia.

Beliau berkata turut cedera parah dua wanita warga tempatan, Siti Fatimah Hamid, 65, dan Hasnah Isyak, 64, yang ketika itu sedang menunggu di atas pembahagi jalan raya untuk melintas jalan.

“Susulan kejadian itu polis menahan pemandu kereta jenis Proton Satria iaitu seorang lelaki berusia 33 tahun yang dikesan positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.

Mengulas lanjut, Abd Rahim berkata kejadian berlaku selepas kenderaan itu terbabas dan telah melanggar tiga pejalan kaki yang berada di atas pembahagi jalan.

Beliau berkata dua wanita tempatan, yang dalam perjalanan pulang dari madrasah, mengalami kecederaan parah dan sedang dirawat di Zon Merah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kegagalan pemandu kereta yang dipercayai memandu laju dan gagal mengawal kenderaan sebelum merempuh ketiga-tiga mangsa, katanya.

Abd Rahim berkata pemandu kereta itu akan direman esok untuk siasatan mengikut Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya1952.

Terdahulu, tular di media sosial insiden beberapa saksi kejadian bertindak memukul pemandu tersebut. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu