PETALING JAYA — Tiga wanita ditahan kerana disyaki terbabit kes samun melibatkan kerugian RM300,000 dalam urus niaga emas.
Ketua Polis Ampang Jaya, Mohd Azam Ismail berkata, penahanan itu menyusul laporan seorang lelaki mendakwa beliau bersama rakannya membuat urus niaga jongkong emas dengan seorang wanita dan lelaki di Melawati Mall pada 1 tengah hari 15 Mac lalu.
Katanya, mangsa mendakwa diminta menaiki Proton Gen2 untuk mengambil emas itu dan dibawa pusing tiga kali mengelilingi pusat beli-belah terbabit.
“Mereka kemudian dibawa ke Jalan G1 dan kereta itu berhenti di tepi jalan sebelum empat suspek (lelaki warga asing) datang, dengan seorang daripadanya mengacukan pistol ke kepala mangsa.
“Suspek juga menyembur alat sembur lada ke mata mangsa dan kemudian merampas beg mengandungi wang tunai RM300,000,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, semua suspek kemudian melarikan diri dengan kereta lain.
Bertindak atas maklumat, Azam berkata, sepasukan anggota dari IPD Ampang Jaya menahan seorang wanita disyaki terbabit kes itu di Taman Melawati pada 7.15 malam hari sama.
Menurutnya, polis menahan dua lagi wanita dalam serbuan di seunit kondominium di Jalan Ampang pada 11.40 malam 16 Mac lalu.
Katanya, suspek pertama direman lima hari hingga 20 Mac, manakala dua lagi wanita direman hingga 23 Mac ini untuk disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.