Social
256

30 dikompaun sewa apartmen untuk beraya

Johor Bahru – Seramai 30 individu termasuk remaja 16 tahun antara yang ditahan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan berkumpul di tiga unit apartmen atas alasan menyambut Aidilfitri, di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Mohd Padzli Mohd Zain berkata 19 lelaki dan 11 wanita berumur antara 16 hingga 29 tahun itu, ditahan selepas polis membuat tiga serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini kira-kira 12.15 tengah malam.

Kesemua mereka dikompaun dengan nilai keseluruhan RM45,000.

Beliau berkata kesemua mereka dipercayai menyewa dua unit apartmen di Jalan Tanjung Puteri dan sebuah lagi di Taman Jaya Putra, di sini, selama beberapa hari bagi menyambut perayaan berkenaan.

“Ketika serbuan mereka didapati berkumpul di ruang tamu rumah tanpa penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka. Semua yang ditahan dikompaun kerana melanggar syarat PKP mengikut Peraturan 16 PPPDPB 2021 (Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021) dan tiada penjarakan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP PKP bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.

Sementara itu, di SEREMBAN, Negeri Sembilan seorang pemilik kedai gunting rambut di Jalan Pasar Baru Bahau, Jempol, dikompaun RM10,000 kerana gagal mematuhi SOP PKP 3.0 malam tadi dengan beroperasi lebih dari pukul 8 malam.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata ketika serbuan dilakukan, lelaki berumur 40 tahun itu masih menggunting rambut pelanggan meskipun masa sudah menunjukkan pukul 8.10 malam.

“Seorang lagi pelanggan sedang menunggu giliran untuk digunting rambut. Jika tiada pemeriksaan dijalankan berkemungkinan kedai berkenaan akan dibuka lebih lama selagi ada pelanggan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hoo berkata dua lelaki berumur 19 tahun yang juga pelanggan di kedai berkenaan turut dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana melanggar SOP PKP dengan tidak memakai pelitup muka.

Waktu operasi perniagaan termasuk di pusat beli-belah dan kedai makan sepanjang PKP 3.0 dibenarkan pada 8 pagi hingga 8 malam, berkuat kuasa di seluruh Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula semalam. – Bernama

Tags: , , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu