Social
284
0

39 ditahan terlibat penipuan pelaburan Forex

Kuala Lumpur – Seramai 39 individu termasuk seorang wanita warga China ditahan dalam serbuan di Puchong malam tadi, dipercayai terbabit dalam kes penipuan menawarkan pelaburan Forex.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Razali Abu Samah berkata dalam serbuan pada 9 malam di sebuah premis di Bandar Puteri itu, polis menahan 16 wanita dan 23 lelaki berusia dalam lingkungan 20 hingga 37 tahun.

“Siasatan awal mendapati suspek berperanan sebagai operator untuk menawarkan pelanggan dari China untuk menyertai pelaburan Forex dengan menggunakan aplikasi sosial seperti WeChat.

“Wanita warga China itu pula akan melatih suspek lain untuk menarik pelabur dari negara berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata hasil semakan mendapati premis berkenaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia sebagai sebuah syarikat telepemasaran dan beroperasi sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, turut dirampas dalam serbuan itu, 39 set komputer dan 20 unit telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM30,800.

“Kesemua tangkapan dibawa balik ke Ibu Pejabat Daerah Serdang untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan, Peraturan 39B Akta Imigresen dan mereka turut dikompaun selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu