Politics
172

4 ADUN BERSATU di P.Pinang boikot sesi libat urus

Georgetown – Semua empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di negeri ini bertindak memboikot sesi libat urus membabitkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dan semua barisan ADUN bermula hari ini.

Empat ADUN berkenaan ialah Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang).

Dalam kenyataan bersama, mereka memaklumkan tindakan memboikot itu dilakukan berikutan dakwaan pimpinan Kerajaan Pulau Pinang bertindak berat sebelah kerana menarik balik peruntukan diluluskan pada 20 Januari lalu kepada ADUN pembangkang berjumlah RM60,000 menerusi surat dikeluarkan pada 19 Februari lalu.

“Peruntukan itu amat penting untuk setiap ADUN bagi melaksanakan projek infrastruktur kemudahan rakyat dan awam, namun kerajaan negeri mengambil pendekatan untuk bermain politik dan tidak profesional terhadap ADUN pembangkang tanpa menghiraukan cabaran terpaksa dihadapi rakyat kini,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, keempat-empat ADUN itu turut mendesak Kerajaan Pulau Pinang berhenti menghukum rakyat dan tidak bermain politik ketika majoriti rakyat masih berdepan krisis kesihatan serta ekonomi.

Sesi libat urus yang berlangsung dua hari bermula hari ini dijalankan bagi membolehkan setiap EXCO mengemas kini perkembangan dan pelaksanaan dasar serta projek di bawah portfolio masing-masing berikutan penggantungan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sepatutnya berlangsung pada April ini, susulan Pengisytiharan Proklamasi Darurat diumumkan Kerajaan Persekutuan.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan ketika ini komposisi kerusi DUN dipimpin Pakatan Harapan (PH) dengan DAP memegang 19 kerusi, PKR (12 ), Parti Amanah Negara (2), manakala Perikatan Nasional menerusi BERSATU mempunyai empat kerusi, PAS (1) dan UMNO (2) .– Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu