Nation
180

4 ahli keluarga Nadia Brian positif Covid-19

Petaling Jaya – Dugaan demi dugaan, hati pelakon Nadia Brian kini luluh apabila beberapa ahli keluarganya disahkan positif Covid-19.

Nadia atau Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 30,ketika dihubungi  memberitahu, kini ibu, nenek, adik lelaki dan anak buahnya telah dijangkiti wabak tersebut.

“Menggigil seluruh badan ketika mendapat tahu keputusan ujian calitan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan perkara ini semalam.

“Paling saya risau ialah keadaan nenek saya, Rugayah Mat kerana sudah berumur 75 tahun, tambahan pula dia mempunyai penyakit kronik iaitu diabetis dan darah tinggi.

“Namun, syukur sebab dia tidak mempunyai sebarang simptom dan kini dia berada di Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Berkongsi lanjut, Nadia memberitahu ahli keluarganya mendapat jangkitan selepas adik lelakinya disahkan positif Covid-19 beberapa hari lalu.

“Kami tidak pasti dari mana adik lelaki saya mendapat jangkitan mungkin ketika dia keluar ke beberapa lokasi.

“Selepas perkara itu, seluruh ahli keluarga membuat ujian calitan tetapi saya, kakak dan abang ipar negatif manakala yang lain positif.

“Esok kami akan membuat ujian calitan sekali lagi, harap keputusannya negatif. Doakan kami,” ujarnya.

Ketika ini, ibunya, Husmarita Hussain, adik lelakinya serta anak buahnya menjalani tempoh kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps).

Dalam pada itu, pelakon drama Aku Yang Kau Gelar Isteri itu mendedahkan dia tidak dapat melelapkan mata sepanjang malam tadi kerana terlalu memikirkan perkara tersebut.

Malah, dia juga turut menitipkan nasihat kepada orang ramai agar sentiasa menjaga diri sepanjang musim pandemik.

“Hati manusia mana yang tidak risau memikirkan keluarga mereka dijangkiti Covid-19. Saya seperti diserang kegelisahan (anxiety) malam tadi.

“Saya harap semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing untuk memerangi virus maut ini. Satu dunia menangis, jadi jangan pentingkan diri,” tuturnya.

Terdahulu, pelakon drama Rudy vs Jolis itu dilihat menangis ketika memberitahu berita berkenaan dalam InstaStorynya.

“Minta semua doakan ahli keluarga saya.Ibu adik, anak buah dan nenek saya disahkan positif Covid-19.

Nadia turut berkongsi video ketika neneknya dijemput KKM menaiki ambulans untuk dibawa ke Hospital Sungai Buloh hari ini. – Kosmo Online

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu