Nation
662

4 anggota berhibur di balai polis hanya berdepan tindakan tatatertib

Kuala Lumpur – Ketua balai polis dan tiga anggota yang ditahan sebelum ini kerana berhibur di sebuah balai polis di Kajang, Selangor pada Julai lepas terlepas daripada tuduhan jenayah setelah ujian air kencing kali kedua mereka didapati negatif terhadap dadah.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Datuk Azri Ahmad berkata bagaimanapun, kesemua mereka masih berdepan dengan siasatan tatatertib yang sedang berjalan.

Beliau berkata tuduhan jenayah melibatkan dadah ke atas mereka tidak dikenakan dan pihak timbalan pendakwa raya mengambil keputusan untuk tidak mendakwa mereka.

“Siasatan tatatertib dijalankan mengikut Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, selain itu mereka juga telah dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) kawalan pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya kepada Bernama hari ini.

Azri berkata kesemua anggota polis berkenaan perlu menjawab semua pertuduhan di hadapan lembaga disiplin dan antara tindakan yang boleh dikenakan adalah digantung kerja dan dibuang kerja.

Pada 20 Julai, selain ketua balai, turut ditahan dua anggota polis berpangkat Koperal dan seorang Koperal Sokongan bersama empat wanita, ketika mereka sedang berhibur di dalam bilik khas di balai polis berkenaan.

Semasa serbuan, polis turut merampas antaranya beberapa botol air disyaki air ketum, botol minuman keras, pembesar suara, lampu disko, mikrofon dan televisyen, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu