Social
195

4 ditahan pecah masuk rumah Datuk Bandar MBPP

George Town – Polis menahan empat lelaki termasuk dua beradik bagi membantu siasatan berhubung kes pecah masuk kediaman rasmi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang Datuk Yew Tung Seang di Jalan Park, Pulau Tikus, di sini semalam.

Kesemua suspek berusia antara 25 dan 37 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Pantai Bersih, Butterworth pada 10.15 pagi semalam, iaitu kira-kira sejam selepas polis menerima laporan berhubung kejadian pecah rumah tersebut.

Menurut sumber polis, kejadian itu disedari ahli keluarga Yew pada 9 pagi selepas mendapati rumah tersebut dalam keadaan berselerak dan pemeriksaan lanjut mendapati sebuah kenderaan jenis Honda CRV dan beberapa barangan hilang antaranya komputer riba serta beg berjenama.

“Pemeriksaan kamera litar tertutup di kediaman rasmi itu mendapati kelibat lelaki telah memasuki rumah dua tingkat tersebut pada 5 pagi dan melarikan barangan yang hilang termasuk sebuah kereta,” katanya di sini hari ini.

Sumber berkata dua suspek yang ditahan masing-masing bekerja sebagai mekanik dan pengawal keselamatan sementara dua lagi menganggur, dengan tiga daripada mereka mempunyai tiga hingga 21 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan tangkapan berkenaan, selain memberitahu polis sedang memburu beberapa lagi individu yang dipercayai terlibat.

Menurut beliau, polis percaya dengan penahanan empat lelaki itu pihaknya berjaya menyelesaikan kejadian pecah rumah tersebut dalam tempoh tidak sampai 24 jam.

“Polis juga berjaya merampas semula sebahagian daripada barang yang dilarikan suspek termasuk kereta, cuma buat masa ini saya tidak boleh mendedahkan butiran lanjut kerana kita masih mengesan saki-baki suspek dan barang kes,” katanya.

Sahabudin berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan. — Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu