Kuala Lumpur Post

Social

4 lelaki culik warga Cina ditahan

GEORGETOWN — Polis menyelamatkan seorang lelaki warga China yang diculik sekumpulan lelaki dalam kejadian di sini, semalam.

Lelaki berusia 30 tahun yang juga pemilik restoran itu berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan namun keletihan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang juga Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan daripada isteri mangsa yang mendakwa suaminya dilarikan sekumpulan lelaki di rumah mereka pada 6 petang.

Katanya, bertindak atas maklumat dan perancangan, pasukan polis menubuhkan pasukan ‘task force’ bagi mengesan mangsa.

“Kita berjaya menyelamatkan mangsa di kawasan Bukit Jambul dan susulan itu, empat suspek ditahan.

“Kesemuanya berusia 32 hingga 40 tahun yang mana tiga adalah warga China manakala seorang lagi warga tempatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Khaw berkata, turut diselamatkan ialah wang tunai berjumlah RM277,886 yang dipercayai sebagai tebusan bagi membebaskan mangsa.

Susulan itu, katanya, polis masih mengesan tiga lagi suspek warga China yang masih bebas dipercayai terbabit dengan kes berkenaan.

“Siasatan masih dijalankan walaupun mangsa sudah diselamatkan dan kita masih mengesan tiga lagi lelaki.

“Motif kejadian juga masih dalam siasatan bagi mengenalpasti sama ada ia membabitkan masalah peribadi, hutang atau lain-lain,” katanya.

Kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan siasatan dijalankan mengikut 365 Kanun Keseksaan.