Social
264

4 lelaki ditahan bersama 200 mesin bitcoin

George Town – Sebanyak 200 mesin bagi aktiviti melombong mata wang digital bitcoin dengan nilai anggaran RM80,000 dirampas polis dalam serbuan terhadap tiga buah rumai kedai di sekitar Jelutong di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata polis berjaya membongkar kegiatan tersebut selepas menyerbu premis pertama di Jalan Perak pada jam 12.30 tengah hari ekoran laporan polis dibuat seorang penduduk di situ memaklumkan terdapat bunyi bising daripada rumah kedai tersebut.

“Dalam pemeriksaan itu, polis menahan empat lelaki tempatan berusia 20 hingga 35 tahun yang berada di premis tersebut dan pemeriksaan lanjut dijalankan oleh pasukan polis bersama pihak Tenaga Nasional Bhd (TNB) mendapati sindiket berkenaan melakukan penyambungan elektrik secara haram,” katanya kepada pemberita di sini malam ini.

Katanya soal siasat ke atas mereka yang ditahan itu, polis menyerbu dua lagi rumah kedai di kawasan Jelutong yang turut dijadikan tempat perlombongan bitcoin dengan melakukan penyambungan elektrik secara haram.

Katanya, kegiatan di tiga premis itu menyebabkan TNB menanggung kerugian kira-kira RM100,000 sebulan dan dipercayai sindiket tersebut telah menjalankan kegiatan tersebut sejak beberapa bulan lepas.

Katanya empat lelaki yang ditahan itu mendakwa mereka berperanan sebagai penyelenggara mesin bitcoin di tiga rumah kedai berkenaan dan dibayar upah RM3,000 sebulan setiap seorang oleh seorang lelaki yang menggajikan mereka.

“Seorang daripada lelaki itu memaklumkan dia telah bekerja sejak dua bulan lepas dan ketika memulakan kerja, semua mesin-mesin tersebut telah ada di rumah-rumah kedai berkenaan dan kami percaya sindiket tersebut telah menjalankan kegiatan tersebut lebih lama daripada itu,” katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan dalang utama sindiket itu dan kemungkinan terdapat beberapa lagi premis lain yang dijadikan tempat perlombongan bitcoin oleh mereka.

Menurutnya tiga lelaki itu direman untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes tersebut disiasat menurut Seksyen 379 dan 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat penyambungan elektrik dan Seksyen 37 Akta Bekalan Letrik 1990 kerana menggunakan bekalan elektrik secara haram. — Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu