Social
211

4 lelaki ditahan kes samun bersenjata

Kuala Lumpur – Polis menahan empat lelaki di sekitar Gombak dan Sentul yang disyaki terlibat dalam satu kes samun bersenjata di sebuah kedai runcit di Bandar Baru Selayang, Batu Caves, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata dalam kejadian samun pada kira-kira pukul 3.00 pagi itu, seorang lelaki berumur 58 tahun yang baru membuka kedainya didatangi dua suspek bersenjatakan sebilah parang, yang terus menariknya ke dalam kedai lalu mengikat kakinya di belakang kedai.

Beliau berkata selepas menyelongkar, suspek mengambil pelbagai jenis rokok serta wang tunai bernilai RM2,000 sebelum turut melarikan cincin emas yang dipakai anak perempuan lelaki berkenaan; dan dua beranak itu tidak mengalami sebarang kecederaan, hanya mengalami kerugian dianggarkan RM5,000.

Dalam satu kenyataan hari ini, Arifai berkata berikutan penahanan suspek yang berumur antara 23 dan 35 tahun itu semalam, polis turut merampas pelbagai barangan antaranya sebuah kereta jenis Toyota Vios, tiga telefon bimbit, sebilah parang, dan satu unit kamera litar tertutup.

“Hasil siasatan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah serta dadah, dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata.

“Kesemua suspek kini direman selama enam hari untuk siasatan lanjut dan polis masih mengesan saki-baki rakan mereka yang terlibat dalam kes ini, yang masih bebas,” katanya. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu