Kuala Lumpur Post

Social

4 lelaki tular buat aksi “Superman” ditahan

TEMERLOH — Tiga penuntut dan seorang pelajar yang melakukan aksi ‘superman’ serta menunggang secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Ahad lalu ditahan.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Polis, Mazlan Hassan berkata, kesemua mereka yang berusia 19, 20, 22 dan 15 tahun ditahan di rumah masing-masing pada 4.42 petang.

Katanya, bertindak atas maklumat berdasarkan video tular yang berlaku di Jambatan Ahmad Shah, LPT1, Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Temerloh bertindak menjejaki suspek.

“Polis kemudian menahan keempat-empat suspek untuk membantu siasatan. Turut ditemui motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang digunakan.

“Kesemua penunggang turut dikesan mengalami kecederaan di bahagian tapak tangan, lutut, bahu, punggung dan kaki.

“Seorang lagi suspek masih di kesan,” katanya.

Katanya, mereka dibawa ke Balai Polis Trafik Temerloh dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu, media melaporkan polis buru sekumpulan ‘Superman’ yang tular di media sosial selepas video menunjukkan mereka menunggang secara berbahaya di lebuh raya sebelum terbabas.

Dalam rakaman berdurasi 28 saat itu, penunggang motosikal berkenaan dilihat bersaing sesama sendiri sambil membuat aksi sebelum seorang daripada hilang kawalan dan terbabas.

Insiden menyebabkan beberapa penunggang lain di belakangnya turut terjatuh ketika cuba mengelak rakan mereka yang terbabas.

Tags: , , ,