Nation
82

4 lokaliti di 3 daerah di Sabah, 4 kampung di Pahang dikenakan PKPD esok

Kuala Lumpur – Empat lokaliti di tiga daerah di Sabah dan satu di Pahang akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok hingga 27 April, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, ia melibatkan dua lokaliti di Daerah Sandakan iaitu Flat Sim-Sim di Mukim Berhala dan Kampung Sungai Obar, Batu 7, Mukim Sentosa; Taman Villa Mas di Daerah Tawau; serta Kampung Melangkap Tomis di Daerah Kota Belud.

Dalam kenyataan mengenai PKP hari ini, beliau berkata empat perkampungan di Temerloh, Pahang turut dikenakan PKPD iaitu Kampung Paya Pulai Tengah; Kampung Pulau Terap; Paya Pulai-Kampung Batu 4 dan Paya Pulai-Kampung Batu 5, Jalan Maran.

Selain itu, Ismail Sabri berkata empat lokaliti di Tawau dilanjutkan PKPD yang melibatkan Kampung Ranggu Batu 10, Mukim Balung; Fasa 2 Taman Semarak, Mukim Balung; serta Kampung Baru Pasir Putih, Mukim Sri Tanjung yang bermula 15 hingga 28 April, manakala bagi Kampung Simpang 3A, Merotai Besar adalah dari 16 hingga 29 April.

Dua lokaliti akan ditamatkan PKPD pada 15 April ini iaitu Kilang YTY dan asrama pekerja di Lekir, Setiawan, Perak dan Kampung Rimbayan, Keningau di Sabah, menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata 73 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) semalam dengan 64 dikompaun manakala sembilan direman.

Katanya ia melibatkan kesalahan seperti tidak memakai pelitup muka (21), gagal merekod butiran diri (14), aktiviti pusat hiburan (13), tiada penjarakan fizikal (6) serta rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (4).

Bagi kawalan sempadan negara pula, beliau berkata lima pendatang tanpa izin ditangkap dan tiga kenderaan darat dirampas menerusi Operasi Benteng. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu