Nation
112

4 lokaliti di Sabah 1 di Sarawak dikenakan PKPD

Kuala Lumpur – Empat lokaliti di Sabah dan satu di Sarawak diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Jumaat sehingga 29 Julai, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata lokaliti di Sabah membabitkan Kampung Lubak di Beaufort; Blok 2, Blok 6 & Blok 9 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mesra (Sandakan); Blok Angsana dan Blok Sumboi-Sumboi, di Kampung Seberang Benoni (Papar) serta Kampung Melalam di Sipitang, manakala bagi Sarawak di Kampung Jagoi Duyoh di Daerah Bau, Kuching.

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD hari ini.

Dalam pada itu, PKPD Kampung Landung Ayang, Kudat di Sabah yang dijadualkan tamat esok, dilanjutkan mulai Jumaat ini sehingga 29 Julai.

PKPD di Kampung Gusi Kinarut di Papar, Sabah ditamatkan hari ini, lebih awal daripada jadual, manakala beberapa lokaliti PKPD lain di Sabah, Negeri Sembilan, Kelantan dan Kuala Lumpur ditamatkan esok seperti yang dijadualkan.

Ismail Sabri berkata lokaliti yang terlibat adalah Jalan Kubur, Kuala Lumpur; Kampung Pangkal Jetas, Machang, Kelantan; Penjara Jelebu dan Kuarters Kakitangan, Jelebu, Negeri Sembilan dan Taman Public, Kota Kinabalu, Sabah.

Sementara itu, beliau berkata 68 premis meliputi kilang (23), premis perniagaan (43) dan tapak pembinaan (dua) diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan dalam pemeriksaan dijalankan pasukan Task Force Operasi Pematuhan, semalam.

Selain itu, Ismail Sabri memaklumkan 471 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dengan 446 daripadanya dikompaun, manakala 16 direman dan sembilan dijamin, semalam.

Menerusi Op Benteng pula, beliau berkata 11 pendatang tanpa izin ditangkap serta tiga kenderaan darat dirampas.

Ismail Sabri juga berkata secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan seramai 700,800 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 36,441 majikan dan daripada jumlah itu seramai 10,410 orang telah disahkan positif COVID-19.

“Semalam, seramai 143 warga asing telah menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu, tiga orang didapati positif COVID-19,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu