Kuala Lumpur Post

Social

4 penjawat awam direman kemuka tuntutan palsu lebih RM13,000

MELAKA — Enam wanita direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu membabitkan RM13,586 di Mahkamah Majistret Ayer Keroh.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nabilah Nizam selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka Adi Supian Shafie berkata, keenam-enam suspek berusia antara 40 dan 57 tahun itu, yang merupakan penjawat awam, ditahan antara 2 hingga 4 petang semalam ketika hadir ke Pejabat SPRM Melaka.

“Mereka direman bagi membantu siasatan mengemukakan dokumen mempunyai butiran matan palsu iaitu dokumen Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020: Rekod Kemajuan Kerja Harian Pembanci berjumlah keseluruhan RM13,586 kepada Unit Kewangan di jabatan kerajaan tersebut pada 2020.

“Ia bagi tujuan tuntutan bayaran sedangkan pekerja Personel MySTEP tidak bekerja di jabatan kerajaan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.