Social
814

4 sekawan berdepan hukuman gantung sampai mati

Kulai – Seorang wanita serta tiga rakan lelaki berdepan hukuman gantung sampai mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan dengan niat menyebabkan kematian seorang lelaki di Jalan Tan Yoke Fong, di sini, 16 Ogos lalu.

Tertuduh, Noorhaszieda Hasan, 32; Mohd. Hafize Mohamad Kassim, 36; Awalludin Abdul Hamid, 54 dan Tan Wei Cong, 25, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh yang merupakan penganggur dan penagih dadah itu.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh melaksanakan niat bersama telah menyebabkan kematian terhadap Nosaisain Muhamad, 46.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara pukul 7 pagi hingga 9.45 malam di rumah di Jalan Tan Yoke Fong 25, Taman Tan Yoke Fong, pada 16 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu