Social
480
0

4 sekawan terlepas hukuman gantung

Johor Bahru – Empat sekawan terlepas hukuman gantung sampai mati apabila Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membebaskan kesemua mereka daripada tuduhan mengedar dadah, empat tahun lalu.

Tertuduh, T. Muniswaran , 47; P. Sugendran, 35; M. Thiyagan, 38, dan S. Arumugan, 35, kelihatan tenang selepas Hakim Datuk Abu Bakar Katar membacakan keputusan itu terhadap mereka.

Abu Bakar dalam penghakimannya berkata, keputusan itu dibuat ekoran pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.

Pendakwaan gagal membuktikan intipati pemilikan dan pengedaran dadah bagi pertuduhan pindaan pertama dan pemilikan dadah bagi pertuduhan pembelaan kedua terhadap kesemua tertuduh.

Mengikut tuduhan pindaan pertama, kesemua tertuduh didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 153.34 gram di sebuah rumah di Taman Muhibbah, Saleng, Kulai pada pukul 4.20 pagi, 20 Februari 2017.

Bagi pertuduhan itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua pula, kesemua tertuduh didakwa mengedar dadah jenis ketamin seberat 3.22 gram di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Di bawah pertuduhan itu kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Seramai enam saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes terbabit berlangsung.

Muniswaran diwakili peguam G. Subramanian Nair manakala Sugendran dan Thiyagan diwakili G. K Sritharan dan P. Rajagunaseelan sementara Arumugam diwakili peguam Shaik Saleem S.M Daud.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali. – Utusan

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu