Social
179

4 sekeluarga maut dalam kemalangan

Bentong – Empat sekeluarga maut dalam kemalangan membabitkan kereta dan treler di Kilometer 5 Jalan Bentong-Raub, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa terakhir, Muhammad Aisy Harraz Aziz, 7, meninggal dunia di Wad Kecemasan Hospital Bentong semasa menerima rawatan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa, Marlianna Abdul Muid, 37, dan Marlia Abdul Muid, 36, disahkan meninggal dunia di lokasi manakala seorang lagi mangsa, Muhammad Faizz Aryan Mohd Faizuddin, 9, meninggal dunia di Hospital Bentong.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian berlaku ketika Perodua Myvi dipandu Marlianna dalam perjalanan dari arah Kota Bharu, Kelantan menuju ke Banting, Selangor.

“Sebaik tiba di lokasi, kereta itu masuk ke laluan bertentangan untuk memotong sebuah kenderaan lain, namun gagal dan bertembung dengan treler dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaiham berkata, kejadian itu menyebabkan Perodua Myvi berkenaan mengalami kerosakan teruk manakala treler terbabit hanya mengalami kerosakan kecil.

“Kanak-kanak berusia sembilan tahun itu adalah anak kepada Marlia, manakala, kanak-kanak berusia tujuh tahun itu pula adalah anak saudaranya (Marlia).

“Semua mangsa berkenaan berasal dari Banting, Selangor,” katanya yang memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau meminta saksi yang melihat kejadian berkenaan supaya tampil bagi membantu siasatan.

“Kami menasihatkan orang ramai yang memandu kenderaan supaya sentiasa berhati-hati.

“Patuhi peraturan lalu lintas dan memastikan kenderaan sentiasa dalam keadaan selamat serta diselenggara dengan baik,” katanya. – Harian Metro

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu