Kuala Lumpur Post

Social

4 stesen monorel ditutup sementara

KUALA LUMPUR — Empat stesen monorel ditutup sementara untuk kerja-kerja pembersihan dan baik pulih susulan insiden pokok tumbang berhampiran Stesen Bukit Nanas semalam.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) berkata, pihaknya akan menyediakan perkhidmatan alternatif agar penumpang dapat meneruskan perjalanan bermula 6 pagi hari ini.

“Empat stesen monorel ditutup kepada orang ramai disebabkan keperluan penutupan bekalan kuasa di landasan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan dan baik pulih.

“Stesen terbabit ialah Stesen Monorel Bukit Nanas, Stesen Monorel Raja Chulan, Stesen Monorel Bukit Bintang dan Stesen Monorel Imbi,” menurut Rapid Rail dalam kenyataan, lapor Bernama.

Katanya, bagi memastikan kesinambungan perjalanan penumpang,Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) akan menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma antara stesen yang terjejas.

Rapid Rail turut menyarankan penumpang yang terkesan akibat gangguan luar jangka itu menggunakan perkhidmatan tren lain sebagai alternatif.

Dalam pada itu, kerja-kerja pembersihan dan baik pulih terperinci sedang giat dijalankan oleh Rapid Rail dengan bantuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

“Pihak operasi dan jurutera struktur juga sedang menjalankan pemeriksaan terperinci untuk memastikan pengoperasian penuh dapat dijalankan mengikut standard keselamatan dan piawaian yang telah ditetapkan.

“Sebarang kemas kini akan dimaklumkan secara berkala menerusi saluran media sosial Rapid KL dan aplikasi PULSE,” katanya.

Rapid Rail turut memohon maaf atas gangguan luar jangka itu dan akan memastikan perkhidmatannya akan dapat beroperasi sepenuhnya secepat mungkin.

Dalam kejadian pada kira-kira 2 petang semalam, seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas sebatang pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, menghempap 17 kenderaan dan landasan monorel akibat hujan lebat serta angin kuat.