Social
328
0

4 suspek samun ditembak mati

Batu Pahat – Empat suspek samun ditembak mati polis selepas terbabit dalam pergelutan di Jalan Pagoh-Parit Sulong di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata dalam kejadian jam 3.15 pagi itu, anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menahan dua kenderaan yang mencurigakan.

“Sebaik polis mendekati kenderaan untuk melakukan pemeriksaan secara tiba-tiba penumpang kereta Toyota Avanza bertindak agresif dan pemandu pula melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.

“Pada masa yang sama, penumpang kereta Toyota Avanza serta pemandu dan penumpang Perodua Myvi cuba melarikan diri, ” katanya dalam sidang media di IPD Batu Pahat, hari ini.

Beliau berkata berlaku pergelutan ketika suspek ditahan dan suspek menyerang anggota polis dengan parang dan kerambit.

“Seorang suspek melibas seorang pegawai polis dengan sebilah kerambit sehingga cedera di tangan.

“Siasatan lanjut mendapati Perodua Myvi dinaiki suspek dilaporkan hilang di Desa Cemerlang, Tebrau,” katanya.

Katanya, pihak polis percaya kumpulan berkenaan aktif melakukan samun dan pecah masuk premis pejabat dan kilang di Johor.

“Hasil pemeriksaan mendapati keempat-empat suspek tiada pengenalan diri dan polis merampas sepucuk pistol Revolver hitam dengan enam kelongsong serta empat butir peluru, dua parang dan sebilah kerambit

“Beberapa peralatan dipercayai untuk pecah rumah dirampas bersama dua kenderaan yang dilaporkan hilang sebelum ini.

“Mayat suspek dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang untuk proses bedah siasat,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan. – BH Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu