Social
170

4 termasuk Datuk direman

Putrajaya – Empat individu termasuk seorang bekas Presiden merangkap Pengarah Urusan sebuah bank bergelar Datuk ditahan reman hari ini bagi membantu siasatan kes menerima suapan bagi meluluskan pinjaman kewangan berjumlah RM400 juta kepada sebuah syarikat bagi projek ‘hantu’.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini pagi tadi selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Majistret menetapkan kesemua suspek berusia antara 49 hingga 53 tahun itu direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 2 April depan di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Terdahulu, kesemua suspek ditangkap di sekitar Kuala Lumpur lewat petang semalam.

Sumber berkata, keempat-empat suspek dipercayai menerima rasuah yang dianggarkan sebanyak SGD3,168,366 iaitu kira-kira RM8 juta sebagai komisen untuk meluluskan permohonan pinjaman kewangan sebanyak RM400 juta bagi projek yang dipercayai tidak wujud.

Menurut sumber, ia adalah suatu perbuatan licik dengan kerjasama orang dalam iaitu dengan sengaja mewujudkan projek tidak sah dengan tujuan untuk memohon pinjaman kewangan.

“Setelah pinjaman kewangan diluluskan dan wang diperoleh, syarikat yang memohon telah ditutup dan projek tidak dilaksanakan.

“Bekas Presiden merangkap Pengarah Urusan bank tersebut dikatakan telah memberikan keistimewaan meluluskan pinjaman tanpa mengikut prosedur dan kajian kebolehlaksanaan disebabkan rasuah yang diterima,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut.

Kes disiasat di bawah seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – Kosmo

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu