Nation
207

40 ibu hamil positif Covid-19 sedang dirawat di HRPZ II

Kota Bharu – Seramai 40 ibu hamil yang positif COVID-19 kategori dua hingga tiga kini dirawat di dua wad khas di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Pengarah HRPZ II Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata rata-rata usia kandungan ibu hamil yang sedang menerima rawatan bermula 27 minggu ke atas.

“Wanita mengandung yang positif COVID-19 perlu dianggap berisiko sebab ada dua pihak iaitu ibu dan anak,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.

Dr Selasawati berkata melihat kepada angka ibu mengandung yang sedang mendapatkan rawatan, pihaknya mencadangkan agar PKRC turut memiliki kemudahan rawatan kepada ibu hamil yang positif COVID-19.

“Kita cadangkan supaya PKRC ada ruang untuk tempatkan ibu-ibu mengandung. Tetapi PKRC tersebut perlu dekat dengan hospital supaya mudah untuk datang ke hospital bagi mendapatkan rawatan sekiranya perlu,” katanya.

Sementara itu, Dr Selasawati berkata penggunaan katil untuk rawatan pesakit COVID-19 di HRPZ II kini mencecah antara 98 hingga 99 peratus, menyebabkan pihaknya terpaksa menukar wad biasa kepada wad COVID-19.

“Sekarang kita perlu tukar wad-wad sedia ada untuk dijadikan wad COVID-19…manakala untuk pesakit bukan COVID-19 kita buka dewan syarahan, lobi serta mana-mana ruang yang boleh untuk diberikan rawatan seterusnya menampung kes bukan COVID-19.

“Kita perlu tukar wad biasa kerana nak pastikan rawatan COVID-19 dilakukan di tempat khas supaya tidak berlaku penularan,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu