Nation
192
0

42 banduan di Kelantan positif Covid-19

Kota Bharu – Seramai 42 orang banduan yang menjalani hukuman di penjara dan pusat pemulihan akhlak di Kelantan disahkan positif Covid-19 dalam tempoh tiga minggu lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zaini Husin berkata, daripada jumlah itu, Penjara Pengkalan Chepa di sini mencatatkan 33 individu positif dan selebihnya adalah tahanan di Pusat Pemulihan Akhlak Machang.

Katanya, penularan kes Covid-19 dalam penjara dipercayai berpunca dalam kalangan orang kena tahan (OKT) yang ditahan selain daripada sebilangan kecil anggota polis yang turut bergejala.

“Kita sedang berbincang dengan pihak penjara untuk mewujudkan sebuah pusat transit di Batu Jong, Kuala Krai bagi menempatkan OKT sebelum mereka dihantar ke penjara. Pusat itu akan dibuka dalam masa terdekat.

“Buat masa ini, semua banduan yang disahkan positif akan ditempatkan di sebuah tempat khas di penjara yang dipantau oleh pihak hospital dalam usaha untuk mengelak penularan Covid-19 melibatkan banduan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Tautan Kasih Pusat Kuarantin Rawatan Covid -19 (PKRC) Kelantan – Musaadah Covid-19 di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Dalam program itu, Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) Kelantan, Mahadi Awang turut menyerahkan sumbangan makanan dan kelengkapan solat kepada Jabatan Kesihatan Kelantan.

Mengulas lanjut, menurut Zaini, pusat transit di Batu Jong itu akan menempatkan banduan-banduan sehingga pulih sepenuhnya sebelum dihantar semula ke penjara.

Katanya, Jabatan Kesihatan akan memastikan banduan yang positif bebas sepenuhnya daripada sebarang gejala bagi mengelak jangkitan kepada banduan lain.

Dalam perkembangan lain ujarnya, tiada kluster baharu Covid-19 dikesan di Kelantan dan hanya kluster sedia ada yang bertambah bilangan individu disahkan positif.

Katanya, kluster yang masih aktif adalah Halban, Pintu Geng, Seragam Chepa, Taman Kesedar, Kampung Badak, Manik, Paloh Tumpat, Pondok Hidayah, Belukar, Renok, Dataran Utas, Alor Durian, Bukit Bakar, Wakaf Lanas, Geting, Pulau Lima dan Cergas. – Utusan

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu