Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Nation

49 kes baharu varian Omicron dikesan di Malaysia

Putrajaya – Sebanyak 49 kes baharu jangkitan COVID-19 varian Omicron dikesan di Malaysia, menjadikan kumulatif kes varian berkenaan kini 62 kes.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan ia termasuk satu kes COVID-19 varian Omicron yang berkemungkinan jangkitan tempatan dilaporkan di Sarawak, semalam (24 Dis).

Beliau menjelaskan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas 145 sampel kes positif COVID-19 dalam kalangan pengembara dari 15 hingga 21 Dis sebelum 60 sampel menunjukkan berkemungkinan (presumptive) varian Omicron.

“Pada 24 Dis, 45 daripada 60 sampel presumptive ini disahkan varian Omicron melalui jujukan genom yang dijalankan oleh IMR,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti, Universiti Malaysia Sarawak (IHCM-UNIMAS) pula mengesan empat kes varian Omicron.

Mengulas mengenai kes kemungkinan jangkitan tempatan, Khairy berkata ia membabitkan seorang lelaki warga China berusia 38 tahun yang bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan di Sarawak selama tiga tahun.

Katanya lelaki tersebut menjalani ujian COVID-19 pada 18 Dis kerana mengalami demam dan batuk selama enam hari sebelum keputusan sampel didapati positif COVID-19 dan kes dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di bawah Hospital Umum Sarawak pada 20 Dis.

Beliau berkata sampel kes dihantar ke IHCM, UNIMAS untuk ujian jujukan genom dan disahkan positif untuk varian Omicron pada 23 Dis.

“Kes tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh tiga tahun ini. Punca jangkitan masih belum dapat dikenal pasti dan siasatan masih diteruskan Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching,” katanya sambil menambah lelaki berkenaan telah lengkap vaksinasi dan berada dalam keadaan stabil.

Khairy berkata dua kontak dikenal pasti iaitu seorang pemandu kenderaan dan seorang lagi kontak sosial dengan kedua-dua mereka diberi arahan kuarantin di stesen kuarantin untuk tempoh 14 hari dan keputusan ujian sampel pertama bagi kedua-dua mereka adalah negatif COVID-19.

Khairy berkata berikutan risiko penularan varian Omicron di seluruh dunia serta pengesanan kes COVID-19 varian Omicron di Malaysia, KKM bersama lain-lain agensi telah mengambil tindakan memperkukuh kawalan di pintu masuk antarabangsa serta saringan ke atas golongan berisiko tinggi.

Katanya mulai 22 Dis, kerajaan Sarawak juga mewajibkan semua pengembara dari luar negara dikuarantin di Pintu Masuk Antarabangsa yang pertama di Malaysia sebelum dibenarkan memasuki Sarawak atau meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya, serta wajib memiliki keputusan RTPCR yang negatif sebelum diberi pelepasan kuarantin.

Sementara itu, dalam kemeriahan sambutan Krismas dan Tahun Baharu, Khairy mengingatkan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan serta melakukan ujian pengesanan COVID-19 kendiri menggunakan RTK Ag sebelum menziarahi sanak saudara, jiran tetangga mahupun rakan taulan, lapor Bernama.

Tags: , ,