Kuala Lumpur Post

Social

5 ahli keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram didakwa terbabit ideologi IS

JOHOR BAHRU — Lima ahli keluarga suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram, di sini, 17 Mei lalu, didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas sembilan pertuduhan berasingan, termasuk menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan pengganas Islamic State (IS).

Tertuduh ialah bapa suspek, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62, dan ibunya yang juga warga Singapura, Rosna Jantan, 59.

Tiga lagi tertuduh ialah adik-beradiknya iaitu Radin Romyullah Radin Imran, 34, Farhah Sobrina Radin Imran, 23, dan Mariah Radin Imran, 19.

Radin Imran berdepan empat tuduhan, termasuk Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574), iaitu menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan pengganas.

Fahaman itu didakwa disemai kepada semua ahli keluarganya membabitkan Radin Luqman, 21, suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram, isterinya serta tiga anak lain.

Anak lelaki sulungnya berdepan dua pertuduhan, manakala isteri dan dua anak perempuannya masing-masing menghadapi satu pertuduhan, lapor Berita Harian.

Dalam kejadian serangan 17 Mei lalu, dua anggota polis Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban manakala suspek berusia 21 tahun itu mati ditembak.

Tragedi itu turut mencederakan Mohd Hasif Roslan, 38, yang terkena tembakan pada bahu dan pinggul.