Social
130

5 ahli sindiket datin didakwa edar dadah

Kota Bharu – Lima individu termasuk dua beradik yang juga ahli ‘sindiket datin’ didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah disyaki jenis methamphetamine seberat 14.9 kilogram di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Mulong 1, pada 8 Mei lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan terhadap semua tertuduh iaitu Miss Rohanee Doloh, 47; dan adiknya, Miss Silawati, 26; selain Wan Mohamad Syariman Maula Wan Mohd Nadzir, 24; Ahmad Maziri Mazlan, 26, serta Mohd Nasrul Hafiszan Mat Nasir, 36, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka terbabit bersama-sama mengedar dadah berbahaya disyaki jenis methamphetamine seberat 14.989 kilogram.

Kesalahan itu dilakukan pada jam 4 petang di tepi jalan di hadapan SK Mulong 1 pada 8 Mei lalu.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin dan tertuduh diwakili peguam, Tengku Shazuan Tengku Shariffudin serta Nur Alyaa Mohd Zain.

Mohd Izuddin kemudian menetapkan 25 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan, satu sindiket pengedaran dadah didalangi seorang wanita digelar Datin dengan berselindung di sebalik penjualan kosmetik, ditumpaskan polis susulan rampasan dadah bernilai RM2.34 juta.

Ia membabitkan rampasan 180,000 biji pil yaba dan 14.9 kilogram (kg) dadah jenis syabu menerusi serbuan membabitkan lima lokasi di tiga daerah iaitu Kota Bharu, Tanah Merah dan Pasir Mas.

Menerusi serbuan berkenaan, polis menahan 11 individu berusia 23 hingga 48 tahun, masing-masing tujuh lelaki dan empat wanita warga Thailand termasuk usahawan kosmetik yang digelar Datin itu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata sindiket dadah yang dikenali sebagai ‘sindiket datin’ itu berjaya ditumpaskan susulan risikan dan intipan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan sejak beberapa minggu lalu. – BH Online

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu