Social
170

5 lagi suspek gaduh di restoran dicekup

Petaling Jaya – Lima lagi individu yang sebelum ini dikesan terlibat dalam kejadian kekecohan di sebuah restoran di Little India, Brickfields, Kuala Lumpur kelmarin telah berjaya dicekup oleh pihak polis awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kesemua individu berkenaan ditahan menerusi beberapa siri serbuan di sekitar Lembah Klang oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) serta Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

“Kesemua suspek yang diburu ditahan dalam operasi serbuan berasingan yang dibuat kira-kira pukul 11.15 malam sehingga 2.26 pagi dan mereka yang ditahan berusia di antara 19 hingga 23 tahun.

“Semakan mendapati kesemua suspek yang ditahan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan mereka telah diserahkan kepada pegawai penyiasat kes untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, tular di laman sosial Facebook tindakan sekumpulan lelaki tempatan mencetuskan kekecohan di sebuah restoran terkemuka di Little India, Brickfields, Kuala Lumpur selepas mereka dipercayai berang apabila dimaklumkan bahawa premis itu dalam proses menutup operasi perniagaan.

Kesemua suspek yang berang kerana tidak dapat makan di situ kemudiannya mengamuk dengan merosakkan peralatan restoran termasuk meja dan kerusi sebelum beredar.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh tanpa senjata. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu