Nation
348

5 lokaliti di 4 negeri dikenakan PKPD

Kuala Lumpur – Lima lokaliti di Sabah, Kelantan, Kedah dan Pahang, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa Sabtu ini hingga 20 Ogos depan.

Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, di Sabah, lokasi dikenakan PKPD iaitu di Tawau melibatkan Kampung Baru Pasir Putih dan Kampung Wallace Bay, Pulau Sebatik dan satu di Perumahan Kilang Sawit Veetar, Tongod.

“Lokaliti di Kelantan yang terlibat ialah Kampung Morak, Mukim Kebakat, Tumpat; Kedah pula Taman Nilam (Zon Biru), Mukim Kuah, Langkawi; manakala di Pahang membabitkan FELDA Sungai Koyan 1 dan 2, Lipis,” menurutnya dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD hari ini.

PKPD yang dilaksanakan sebelum ini di tiga lokaliti di Mukim Sura, Dungun, Terengganu melibatkan Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir, Kampung Gong Pasir dan Taman Maidam dilanjutkan hingga 16 Ogos.

Selain itu, PKPD di Kompleks Penjara Bentong termasuk Kuarters, Bentong, Pahang serta Kampung Joh dan Kampung Maka, Machang, Kelantan dilanjutkan hingga 20 Ogos.

Hishammuddin berkata, setelah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan mengenai situasi semasa, PKPD di beberapa lokaliti di tiga negeri akan ditamatkan esok.

Kawasan terlibat adalah 14 lokaliti di Temerloh, Pahang membabitkan Taman Bahagia, Taman Bahagia Indah, Taman Bahagia Makmur, Taman Bahagia Permai, Taman Bahagia Courts dan seluruh Kampung Padang Lalang.

Lokaliti lain yang terlibat adalah Taman Perumahan Sri Kemuning, Flat Sri Kemuning, Taman Temerloh Jaya, Taman Temerloh Jaya Indah, Taman Temerloh Makmur, seluruh FELDA Lakum, Kampung Paya Keladan dan Taman Keladan Indah.

Di Sabah pula melibatkan dua lokaliti di Tuaran membabitkan Kampung Pukak, Mukim Tengah, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gayang Ria, Mukim Berungis; Kampung Gumandang, Kudat; Kampung Lumatai Ulu, Beaufort; serta tiga lokaliti di Sipitang iaitu Kampung Banting, Kampung Kawang dan Kampung Ulu Bole.

Pada masa sama, penamatan PKPD itu turut melibatkan Kampung Dewan Besar, Labok, Machang, Kelantan.

Menyentuh operasi pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semalam, beliau berkata 71 premis diarah tutup serta-merta ekoran kegagalan mematuhi SOP.

Menurut Hishammuddin, seramai 240 individu dikompaun kerana ingkar SOP dan 14 lagi direman manakala dalam Op Benteng, 23 pendatang tanpa izin ditahan serta enam kenderaan darat dirampas, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu