Nation
173

5 lokaliti di Sabah dikenakan PKPD

Kuala Lumpur – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksana di lima lokaliti di Sabah, termasuk tiga di Kota Kinabalu bermula 12 hingga 25 Julai ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata di Kota Kinabalu, lokaliti terlibat ialah Kampung Suang Parai, Taman Kingfisher Sulaman dan Bandaran Berjaya, manakala dua lokaliti lain ialah QL Farm, Membalua, Tawau dan Kampung Pikat, Bongawan, Papar.

Sementara itu, PKPD di lokaliti Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud, Sabah yang sepatutnya berakhir esok dilanjutkan sehingga 25 Julai.

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata PKPD di enam lokaliti di Kuala Lumpur melibatkan Flat Seksyen 1 Wangsa Maju, Flat Seksyen 2 Wangsa Maju, Kampung Puah, Flat Desa Pandan (termasuk Baiduri dan Delima), Kampung Batu Muda dan Taman Koperasi Polis (Fasa 1), akan ditamatkan esok, lebih awal daripada dijadualkan.

Sementara itu, beliau berkata 52 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarah tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan, sewaktu pemeriksaan oleh Pasukan Petugas Operasi Pematuhan, semalam.

Semalam, Pasukan Task Force Operasi Pematuhan melaksanakan 85,123 pemeriksaan dan ‘snap check’ COVID-19 di seluruh negara meliputi pemeriksaan ke atas 2,226 kilang; 14,916 premis perniagaan; 1,005 tapak pembinaan dan 321 asrama penempatan pekerja.

“Seperti yang diumumkan sebelum ini, kerajaan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang-kilang dan premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan SOP yang telah diwartakan,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata 417 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 408 individu dikompaun manakala sembilan direman atas pelbagai kesalahan.

Dalam pada itu, seorang pendatang asing ditangkap dalam Op Benteng semalam, selain masing-masing dua kenderaan darat dan bot atau kapal dirampas, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu